Kecergasan Fizikal Berasaskan Lakuan Motor

Dalam entry kali ini, saya kupas pula mengenai Kecergasan Fizikal Berasaskan Lakuan Motor. Sebagai Refresher, kita lihat semula konsep kecergasan fizikal. Kecergasan fizikal merupakan salah satu komponen dalam kecergasan keseluruhan. Dalam kecergasan fizikal pula, terdapat 2 aspek kecergasan fizikal yang ada iaitu kecergasan fizikal berasaskan kesihatan yang terdiri daripada 5 komponen dan kecergasan fizikal berasaskan lakuan motor yang terdiri daripada 6 komponen.

Kecergasan fizikal berasaskan lakuan motor didefinisikan sebagai komponen yang membantu kita untuk beraksi dengan baik dalam sukan dan aktiviti lain yang memerlukan kemahiran motor. Sebagai contoh, Kelajuan membantu kita untuk beraksi lebih cemerlang dalam acara lari pecut. 6 komponen ini sebenaranya tetap mempunyai manfaat terhadap kesihatan tetapi manfaatnya kurang berbanding dengan komponen yang diklasifikasikan sebagai komponen kecergasan fizikal berasaskan kesihatan. 6 komponen tersebut adalah  Kelajuan, Kuasa, Koordinasi, Ketangkasan, Imbangan dan Masa Reaksi.

  1. Kelajuan
    • Kemampuan individu untuk bergerak daripada titik A ke titik B dengan masa yang singkat. Individu yang mempunyai kelajuan kaki yang baik dapat berlari laju manakala individu yang mempunyai kelajuan tangan yang baik dapat membaling dengan laju. Contoh sukan yang memerlukan kelajuan adalah Lari Pecut, Bola Sepak dan Ragbi.


  2. Kuasa
    • Keupayaan individu untuk menggunakan kekuatan otot dengan pantas. Ia adalah gabungan komponen kekuatan otot dan kelajuan. Kadang kala ia juga dikenali sebagai explosive strength. Individu yang mempunyai kuasa yang baik boleh melakukan aktiviti yang explosive seperti lompat tinggi atau jauh dan melontar peluru. Contoh sukan yang memerlukan kuasa adalah acara Lompatan, Acara Lontaran dan Angkat Berat.


  3. Koordinasi
    • Kemampuan individu untuk menggunakan panca indera seiring dengan anggota badan ataupun menggunakan dua atau lebih anggota badan bersama-sama. Individu yang mempunyai koordinasi mata-tangan atau mata-kaki yang bagus dapat melakukan aktiviti menimang, memukul dan menendang dengan baik. Antara sukan yang memerlukan komponen koordinasi adalah Besbol, Hoki dan Bola Tampar.


  4. Ketangkasan
    • Kebolehan individu untuk menukar arah dengan pantas semasa bergerak. Individu yang mempunyai ketangkasan yang baik dapat melakukan perubahan arah pergerakan dengan cekap dan seimbang.Contoh sukan yang memerlukan ketangkasan adalah Bola Keranjang, Bola Sepak dan Gusti


  5. Imbangan
    • Kebolehan individu untuk mengimbangkan badan semasa dalam keadaan statik atau dinamik. Individu yang mempunyai imbangan yang baik dapat mengekalkan keseimbangan badan apabila pusat graviti atau tapak yang menyokongnya berubah. Antara sukan yang memerlukan imbangan adalah Gimnastik, Luncur Air dan Luncur Ais.


  6. Masa Reaksi
    • Jumlah masa yang diperlukan oleh individu untuk bergerak setelah menerima ransangan atau isyarat untuk bergerak. Individu yang mempunyai masa reaksi yang baik dapat memulakan tindak balas dengan lebih cepat apabila mendapat isyarat untuk bergerak. Antara sukan yang memerlukan masa reaksi yang baik adalah acara Lari Pecut, Berenang dan Sukan Tempur.


Menurut buku Fitness For Life yang ditulis oleh Charles B. Corbin, Komponen kuasa telah diklasifikasikan sebagai komponen baru dalam kecergasan fizikal berasaskan kesihatan. Hal ini kerana dalam kajian yang terkini menunjukkan kuasa dapat meningkatkan kesihatan tulang. Tetapi saya masih meletakkan komponen kuasa dalam aspek kecergasan fizikal berasaskan lakuan motor atas sebab mengikuti silibus KSSM dan tidak mengelirukan pembaca.

Untuk Entry akan datang, saya akan kupas setiap komponen dengan lebih mendalam serta cadangan aktiviti yang boleh dilakukan bagi meningkatkan komponen tersebut. Teruskan mengikuti penulisan saya. Terima kasih 😁


Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Prinsip Aktiviti / Latihan Fizikal dan Formula FITT

Kapasiti Aerobik [Edisi Penerangan]