Kecergasan Fizikal Berasaskan Kesihatan

Untuk meneruskan kesinambungan topik yang lepas, saya ceritakan pula mengenai aspek Kecergasan Fizikal Berasaskan Kesihatan. Seperti yang telah tertera pada namanya, komponen yang dikelaskan dalam kecergasan fizikal berasaskan kesihatan ini berkait rapat dengan kesihatan. Kajian menunjukkan bahawa komponen ini dapat mengurangkan risiko kita menghidapi penyakit hipokinetik (kurang pergerakan) seperti penyakit jantung, kegemukan dan pelbagai penyakit otot dan tulang. Komponen ini juga dapat mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan yang baik serta membantu kita untuk berfungsi secara efektif dalam kehidupan seharian.

Kecergasan fizikal berasaskan kesihatan terdiri daripada komponen-komponen yang berikut :

  1. Komposisi Badan
    • Merujuk kepada kandungan tubuh badan kita yang terdiri daripada lemak, otot, tulang dan air dalam badan. Kebiasaannya peratusan lemak dalam badan digunakan untuk menilai komponen komposisi badan yang berkaitan dengan kesihatan. Ujian BMI adalah antara ujian yang digunakan untuk mengukur tahap kesihatan komposisi badan seseorang.


  2. Kapasiti Aerobik
    • Merupakan keupayaan maksimal oksigen dalam darah yang dipam oleh jantung ke seluruh anggota dan kumpulan otot-otot besar badan ketika melakukan aktiviti fizikal. Dengan peningkatan tahap kapasiti aerobik, kita dapat melakukan aktiviti fizikal dengan lebih lama. Ujian naik turun bangku adalah antara ujian yang digunakan untuk mengukur tahap kapasiti aerobik seseorang. 


  3. Kekuatan Otot
    • Merupakan kemampuan otot melakukan aktiviti (kerja) untuk mengatasi rintangan atau beban dengan menggunakan daya maksimum. Seseorang yang mempunyai kekuatan otot yang tinggi dapat mengangkat/mengatasi satu beban yang berat. Semakin tinggi kekuatan otot, semakin berat beban yang boleh diangkat/diatasi. Ringkuk tubi separa adalah antara ujian yang digunakan untuk mengukur tahap daya tahan otot seseorang.


  4. Daya Tahan Otot
    • Keupayaan otot untuk melakukan aktiviti (kerja) secara berulang kali dalam satu jangka masa yang lama dengan penghasilan hasil kerja yang baik. Bagi seorang individu yang mempunyai daya tahan otot yang kuat, beliau akan dapat melakukan satu senaman berulang kali secara berterusan dengan pergerakan yang konsisten dan sempurna. Tekan tubi seminit adalah antara ujian yang digunakan untuk mengukur tahap daya tahan otot seseorang.


  5. Fleksibiliti/Kelenturan
    • Keupayaan otot, sendi, tendon dan ligamen untuk bergerak dalam julat pergerakan yang maksimum (Full range of motion). Seseorang itu dikatakan sebagai seorang yang flexible apabila dapat membuat pergerakan yang maksimum mengikut julat sendi yang digerakkan. Jangkauan melunjur adalah antara ujian yang digunakan untuk mengukur tahap kelenturan seseorang.


Pada entry yang berikut, saya akan ceritakan pula mengenai Kecergasan Fizikal Berasaskan Lakuan Motor. Stay tune! 😁

Comments

Popular posts from this blog

Prinsip Aktiviti / Latihan Fizikal dan Formula FITT

Kecergasan Fizikal Berasaskan Lakuan Motor

Kapasiti Aerobik [Edisi Penerangan]