Kapasiti Aerobik Tingkatan 1 [Edisi Guru]
Saya akan berpandukan DSKP dan buku teks tingkatan 1 untuk menentukan isi pembelajaran, aktiviti dan penerangan setiap aktiviti. Saya letakkan potongan daripada DSKP yang telah saya edit berkaitan dengan aktiviti kapasiti aerobik. Kemudian saya akan cuba cadangkan aktiviti yang dapat memenuhi kehendak Standard Pembelajaran dan Standard Prestasi. Saya akan cadangkan satu per satu mengikut point dalam DSKP (3.1.1 > 3.1.2 ataupun TP 1 > TP 2 > TP 3 dan seterusnya)
Prinsip FITT
Sebelum memulakan pembelajaran dalam topik kecergasan, kita perlu perkenalkan dahulu formula FITT kepada murid kita. Hal kerana dalam topik kecergasan, formula FITT merupakan asas bagi membantu pelajar kita melakukan aktiviti dan menyusun jadual latihan daripada tingkatan 1 sehingga tingkatan 5. Bagi mendapatkan penjelasan yang lebih terperinci, boleh pergi ke entry saya berkaitan Prinsip Aktiviti / Latihan Fizikal dan Formula FITT ataupun Kapasiti Aerobik [Edisi Penerangan] bagi penerangan yang lebih berfokus kepada tajuk kapasiti aerobik.
Standard Pembelajaran 3.1.1 dan 4.1.1
SP ini berkehendak untuk murid mengenal pasti kaedah untuk mengira kadar nadi latihan dan mengira kadar nadi rehat dan kadar nadi maksimum sendiri serta menggunakan kaedah untuk mengira kadar nadi latihan tadi bagi mengira kadar nadi latihan sendiri.
Merujuk kepada buku teks, kaedah yang disarankan untuk mengira kadar nadi latihan adalah menggunakan Formula Karvonen. Oleh itu, kita perlu memperkenalkan kepada murid kita kepada formula Karvonen ini dan komponen-komponen yang diperlukan bagi mengira KNL mereka. Berikut adalah Formula Karvonen dan cara mendapatkan bacaan bagi komponen yang diperlukan :
Formula Karvonen
Kadar Nadi Latihan (KNL) = [Kadar Nadi Maksimum (KNM) - Kadar Nadi Rehat (KNR)] x intensiti latihan + KNR
Kadar Nadi Rehat (KNR)
Kadar nadi yang diambil sewaktu rehat. Waktu terbaik untuk mengambil bacaan KNR adalah sewaktu bangun daripada tidur. Dapatkan bacaan untuk 60 saat bagi beberapa hari berturut-turut dan puratakan bacaan tersebut. Bagi tujuan pembelajaran pada hari tersebut, boleh minta murid untuk duduk dan tenangkan diri, kemudian ambil bacaan nadi selama 60 saat.
Kadar Nadi Maksimum (KNM)
Gunakan Formula [Kadar Nadi Maksimum = 220 - umur]. Untuk pelajar tingkatan 1, KNM mereka adalah 207 bpm.
Intensiti Latihan
Intensiti ditentukan oleh guru (untuk sesi pembelajaran hari tersebut) ataupun murid (untuk membina jadual latihan persendirian). Boleh berpandukan jadual dibawah
Standard Pembelajaran 3.1.2 dan 4.1.2
SP ini berkehendak untuk murid melakukan aktiviti meningkatkan kapasiti aerobik 3 hingga 6 kali seminggu berdasarkan FITT dan murid juga perlu mengenalpasti FITT bagi meningkatkan kapasiti aerobik.
Aktiviti yang dicadangkan dalam buku teks adalah latihan aerobik yang berbentuk latihan litar (circuit training). Kita boleh menggunakan apa-apa jenis aktiviti kapasiti aerobik dalam PdPC. Apa yang penting adalah pengaplikasian FITT semasa merancang dan melakukan aktiviti. Guru perlu membimbing murid untuk merancang perkara yang berikut :
Boleh minta murid untuk menulis perancangan mereka dalam buku latihan sebagai panduan untuk melakukan aktiviti kecergasan. Setelah selesai bimbingan merancang latihan, boleh mula melakukan aktiviti mengikut arahan guru sebagai sesi praktikal melakukan dan menilai aktiviti meningkatkan kapasiti aerobik.
Dalam formula FITT, komponen Frequency, Time dan Type boleh diukur dengan mudah kerana penilaian dapat dibuat dengan mata kasar (Frequency = berapa kali lakukan latihan seminggu, Time = Cukup tak masa setiap sesi latihan, Type = Sesuai tak aktiviti yang dilakukan). Bagi komponen Intensity, penilaian pencapaian sedikit sukar kerana melibatkan pengiraan nadi. Cara bagi mengukur intensiti latihan adalah seperti berikut :
Standard Prestasi
Tahap Penguasaan 1 : Mengira KNR dan KNM sendiri + Melakukan aktiviti meningkatkan kapasiti aerobik.
Tahap Penguasaan 2 : Mengira dan menerangkan kaedah penggunaan Formula Karvonen + menerangkan dan melakukan aktiviti meningkatkan kapasiti aerobik berdasarkan FITT
Tahap Penguasaan 3 : Melakukan aktiviti meningkatkan kapasiti aerobik mengikut FITT
Tahap Penguasaan 4 : Melakukan aktiviti meningkatkan kapasiti aerobik mengikut FITT dengan betul (mencapai sasaran Masa, Intensiti dan Jenis Latihan)
Tahap Penguasaan 5 : Merancang jadual latihan seminggu yang dibina menggunakan FITT
Tahap Penguasaan 6 : Memberikan justifikasi jadual latihan yang dirancang dan membuat refleksi terhadap aktiviti yang dilakukan berdasarkan jadual yang telah dirancang (Kelas yang seterusnya)
Mencapai Standard Pembelajaran dan Standard Prestasi
Apabila murid dapat mengira KNL mereka sendiri menggunakan Formula Karvonen, tercapailah SP 3.1.1 dan 4.1.1 dan separuh TP 1 dan 2.
Apabila murid dapat merancang, menerang dan memberikan justifikasi aktiviti latihan meningkatkan kapasiti aerobik menggunakan FITT dalam seminggu serta melakukan aktiviti meningkatkan kapasiti aerobik berdasarkan FITT dengan betul dalam kelas, maka SP 3.1.2 dan 4.1.2 serta TP 1, 2, 3, 4 dan 5 tercapai.
Bagi mencapai TP 6, murid perlu menunjukkan keyakinan dan tanggungjawab semasa membuat aktiviti dalam kelas. Murid juga perlu membuat refleksi terhadap jadual latihan yang mereka rancang pada kelas yang seterusnya sebagai tanda bahawa murid telah melakukan aktiviti kecergasan untuk meningkatkan kecergasan fizikal dalam gaya hidup sihat.
Apa yang saya tuliskan adalah berdasarkan pemahaman saya terhadap DSKP. Sekiranya terdapat sebarang kesalahan, mohon untuk ditegur. Lebih-lebih lagi untuk cara mencapai TP 6. Mungkin JUK PJPK lebih arif berkenaan cara yang sesuai untuk mencapai TP 6 tersebut. Sebarang cadangan boleh terus pm ataupun komen di blog ataupun facebook page saya. Teruskan mengikuti penulisan saya. Jangan lupa like dan follow Facebook page saya Amir Khairuddin bagi mendapatkan update terkini. Terima kasih 😁
Comments
Post a Comment